JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menerima 25 laporan daripada pelbagai pihak berhubung isu kalimah Allah tertera pada stoking setakat ini.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata selain itu pihaknya menerima satu laporan daripada wakil sebuah kilang yang mengadu menerima ugutan berkaitan isu berkenan.

Beliau berkata berdasarkan aduan ugutan itu dilakukan secara bersemuka pada 19 Mac lepas, namun laporan polis hanya dibuat pada 23 Mac selepas kejadian berkenaan menjadi tular di media sosial.

"Kes ini disiasat mengikut seksyen 506 kanun keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

-- BERNAMA