Isu surat lantikan anak: Ikmal Hisham akui kesal

Muhafandi Muhamad
Ogos 22, 2020 14:47 MYT
Ikmal Hisham akui kesal dengan tindakannya berhubung isu surat sokongan melantik anaknya menganggotai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga. - Gambar fail
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz akui kesal dengan tindakannya berhubung isu surat sokongan melantik anaknya menganggotai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.
Pada masa sama, beliau turut terkejut dengan surat tersebut yang tular di media sosial yang berlaku sehari sebelum pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Dalam isu ini, ada salah faham dan saya akan jelaskan perkara ini di parlimen nanti dan saya ambil iktibar apa yang berlaku.
“Saya terkejut apabila surat ini tular, tambahan pula berlaku sehari sebelum hari pemilihan, tetapi saya berfikiran positif dan beranggapan mungkin ia hanya kebetulan sahaja," katanya.
BACA: Anak Ikmal Hisham tidak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah - Ismail Sabri
Jelas Ikmal Hisham, pihaknya turut meminta agar anaknya itu tidak dilantik dalam mana-mana syarikat khususnya berkaitan dengan Lembaga Tabung Angakatan Tentera (LTAT).
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung isu lantikan anaknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam Pharmaniaga Berhad pada 6 Jun lalu.
Surat lantikan yang dihantar kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dikatakan tular di media sosial serta mendapat kecaman hebat yang disifatkan sebagai mengambil kesempatan.
Bagaimanapun, Ismail Sabri telah membuat pengesahan berhubung anak timbalannya itu tidak dilantik di dalam organisasi berkenaan.
#Bersatu #Ikmal Hisham #Ikmal Hisham Abdul Aziz #ismail sabri yaakob #Lembaga Tabung Angakatan Tentera #LTAT #Pharmaniaga #PPBM #Timbalan Menteri Pertahanan