Skip to main content

Malaysia

Isu Surau Taman Seraya: Kertas siasatan diserah kepada pihak pendakwaan – Polis

Shah Alam , 8 Mei 2026. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar  pada Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Mes Pegawai kanan Polis, IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Shazeli Kahar berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan berhubung kes isu kontroversi Surau Taman Seraya, Ampang. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung isu kontroversi Surau Taman Seraya, Ampang dan menyerahkannya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan berhubung kes berkenaan.

“Setakat ini, kertas siasatan telah dilengkapkan oleh pihak PDRM dan telah diedarkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor untuk kajian dan juga arahan selanjutnya.

“Jadi kami hanya menunggu tindakan daripada pihak pendakwaan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di IPK Selangor, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati insiden tersebut tidak melibatkan pengaruh atau campur tangan mana-mana pihak luar.

“Setakat siasatan yang telah dijalankan sebagaimana sebelum ini saya memberi respons, tidak ada elemen-elemen luar.

“Daripada elemen dalaman itu sendiri dan tidak dipengaruhi unsur luar,” katanya lagi.

Beliau berkata, setakat ini hanya seorang suspek ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum ini, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencetuskan kontroversi berkaitan isu agama di Surau Taman Seraya, Ampang.

Suspek ditahan di Pandan Indah pada Ahad lalu dan polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Must Watch Video