PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan dibuka susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026, yang menunjukkan beberapa isu yang memerlukan tindakan lanjut.
Advertisement
"Dua isu utama dikenal pasti. Pertamanya, berkaitan program pengambilan pelajar melalui koperasi yang tidak mendapat kelulusan ahli Lembaga Pengarah, yang berlaku kira-kira empat tahun lalu.
"Kedua, isu tuntutan palsu oleh ejen-ejen pengambilan pelajar berdaftar. Walaupun nampak satu isu, kami memecahkannya kepada dua aspek untuk siasatan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Azam menambah SPRM kini sedang mendapatkan kerjasama daripada pihak UKM bagi memperoleh dokumen-dokumen penting untuk tujuan siasatan.
Beliau berkata, setakat ini, tiada saksi yang dipanggil, tetapi pihaknya akan memanggil individu berkaitan pada masa sesuai selepas dokumen diperoleh.
LKAN 1/2026 mendedahkan ketidakaturan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di UKM bagi tahun kewangan 2024.
Menurut Ringkasan LKAN Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024, kutipan hasil yuran keseluruhan pelajar bagi program SPEND dan DPLI berjumlah RM60.77 juta.
Daripada jumlah itu, UKM merekodkan kutipan RM2.43 juta, manakala RM50.74 juta dikutip melalui koperasi. Bagaimanapun, sebanyak RM7.60 juta masih belum diterima.
Sementara itu, Azam juga memaklumkan SPRM telah membuka satu lagi kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan IJM Corporation Berhad (IJM), menjadikan setakat ini tiga kertas siasatan berkaitan kes itu.
Ujar beliau, kertas siasatan terbaharu itu membabitkan pengambilalihan saham oleh Sunway Berhad.
"Kami sedang melihat sama ada pengambilalihan itu mempunyai isu rasuah, salah guna kuasa atau kesalahan dalam tatakelola," katanya.