MALAYSIA

Isu ternak babi: Tiada larangan, tapi jangan ganggu sensitiviti, kesihatan penduduk - PM Anwar

Naz Raseed 09/02/2026 | 04:00 MYT
Kerajaan tidak pernah menentang aktiviti penternakan babi, namun operasi sedemikian tidak wajar diteruskan jika dijalankan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk setempat, kata Perdana Menteri Anwar. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menentang aktiviti penternakan babi, namun operasi sedemikian tidak wajar diteruskan jika dijalankan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk setempat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dasar kerajaan jelas dalam hal berkaitan penternakan babi termasuk keperluan mengambil kira kepentingan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat sekeliling.

"Saya setuju dengan pandangan bahawa (penternakan) tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan. Kalau mahu, cari pilihan kawasan yang lebih jauh.

"Kita dari segi dasar tidak menentang penternakan atau melarang orang bukan Islam untuk makan babi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu seperti pencemaran bau dan najis merupakan perkara realiti yang perlu diterima dan ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar projek penternakan babi dibangunkan hanya di lokasi yang mendapat persetujuan bersama semua pihak terbabit.

Perdana Menteri menegaskan, isu sebegini perlu diselesaikan secara berhemah termasuk mengambil kira pandangan pihak berkepentingan serta masalah-masalah yang mungkin timbul.


#ternak babi #sensitiviti #kesihatan penduduk #PM Anwar Ibrahim