MALAYSIA

Isu tiket penerbangan dan kesibukan jalan raya Johor dibangkitkan di Dewan Rakyat

Astro Awani 05/11/2025 | 00:00 MYT
Mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-15 ini dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan beberapa isu penting dibangkitkan oleh ahli parlimen, termasuk harga tiket penerbangan ke Sabah semasa musim perayaan dan kesesakan jalan utama di Johor.


Ringkasan AI
  • Vivian Wong (PH-Sandakan) gesa penjelasan kos tiket ke Sabah dan cadang ketelusan subsidi penerbangan.
  • Muhammad Islahuddin (PN-Mersing) minta naik taraf jalan Johor hadapi JS-SEZ dan kesesakan.
  • Oscar Ling (PH-Sibu) soal strategi imbangan pelaburan AI dengan keselamatan sumber negara.


Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee (PH), menggesa penjelasan daripada Menteri Pengangkutan berhubung purata kos tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu sekiranya kerajaan tidak meneruskan program harga maksimum RM499.

Beliau turut mencadangkan agar syarikat penerbangan diwajibkan memaklumkan jumlah subsidi tiket kepada pembeli sebagai langkah ketelusan.

Dalam sesi sama, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) membangkitkan isu kesesakan jalan raya di Johor, khususnya di kawasan Iskandar Malaysia.

Beliau meminta Menteri Kerja Raya menyatakan kesediaan kementerian untuk menaik taraf lebuh raya dan jalan utama bagi menghadapi peningkatan jumlah kenderaan serta pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Turut mendapat perhatian ialah soalan daripada Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai jumlah projek pusat data yang telah diluluskan, unjuran penggunaan elektrik dan air, serta strategi kerajaan dalam mengimbangi pelaburan kecerdasan buatan (AI) dengan keselamatan sumber negara.

Selepas sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-15 ini dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember.





#Dewan Rakyat #Harga tiket penerbangan #naik taraf jalan #strategi imbangan pelaburan AI