Isu transgender: Nilai semula keputusan Mahkamah Rayuan - Muhyiddin

Astro Awani
November 10, 2014 05:43 MYT
Muhyiddin berkata, tindakan menilai semula itu penting memandangkan ia meninggalkan implikasi besar dalam masayarakat. - Foto fail
Keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seterusnya membenarkan lelaki Muslim berpakaian seperti wanita terus menjadi perdebatan umum.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menghormati keputusan tersebut, namun menurut beliau, hal itu perlu dinilai semula.
Muhyiddin berkata, walaupun beliau bukan pakar dalam perkara tersebut, tindakan menilai semula itu penting memandangkan ia meninggalkan implikasi besar dalam masyarakat. Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh Lembah Bertam (Cameron Highlands) di bilik operasi Majlis Keselamatan Negara pada Ahad.
“Ia adalah keputusan yang luar biasa walaupun telah diputuskan mahkamah. Saya telah membaca kenyataan daripada para mufti dan persatuan yang mewakili para peguam Muslim yang juga terkejut dengan keputusan berkenaan,” ujar beliau kepada wartawan.
Muhyiddin bagaimanapun menyerahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk membuat pertimbangan selanjutnya.
Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu membuat keputusan bahawa undang-undang syariah negeri itu yang menjatuhkan hukuman kepada lelaki yang berpakaian wanita di tempat awam adalah bertentangan dengan Perlembangaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan perkara berkenaan selepas mendengar rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam.
Ketiga-tiga lelaki itu memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan fatwa syariah yang melarang lelaki daripada ‘memakai pakaian perempuan’ atau ‘menyamar sebagai seorang wanita’ di Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga mencadangkan agar pihak berkuasa Islam negeri mempertimbangkan semula perkara tersebut dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
#Mahkamah Rayuan #mak andam #Muhyiddin #syariah #transgender