Isu Veveonah, saya dapat maklumat daripada pegawai di lapangan - Abdul Rahim

Ruzaini Zulkepli
September 7, 2020 12:10 MYT
ABDUL RAHIM berkata, mengikut siasatan pihaknya keluarga Veveonah menetap di Pekan Pitas dan bukannya di Kampung Sapatalang, Pitas yang merupakan lokasi kesukaran liputan internet.
Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri mendedahkan isu Veveonah Mosibin yang kontroversi sebelum ini adalah berdasarkan laporan pegawai lapangan di daerah Pitas.
Menurut beliau, mengikut siasatan pihaknya keluarga Veveonah menetap di Pekan Pitas dan bukannya di Kampung Sapatalang, Pitas yang merupakan lokasi kesukaran liputan internet.
Jelas Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu, pihaknya telah menemuramah ketua-ketua kampung di sekitar rumah pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkenaan dan mendapati keluarga mereka sudah lama tidak tinggal di Kampung Sapatalang.
"Seperti keterangan kedua dua ketua kampung, ibu-bapa pelajar ini sudah terlalu lama tidak tinggal di Kampung Sepatalang kerana bapa nya Mosibin Maraun @ Makrun adalah bekerja di KPD di pekan Pitas .
" Mereka sebenarnya tinggal menetap di pekan Pitas yang ada khidmat internet," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp, pada Isnin.
BACA: Dakwa Veveonah menipu: Zahidi dedah dapat maklumat daripada ahli Parlimen Kudat
BACA: Timbalan menteri minta maaf dakwa Veveonah palsukan kisah duduki peperiksaan atas pokok
Pada 3 September lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam Sidang Dewan Negara bahawa isu Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet untuk menjawab peperiksaan hanyalah untuk rancangan YouTube pelajar berkenaan.
Hari ini, Zahidi pada siding media di Dewan Negara menjelaskan beliau menerima maklumat berkaitan Veveonah daripada Abdul Bakri selaku wakil rakyat.
Selain itu, Abdul Rahim turut mendedahkan, pihaknya juga telah membuat pemeriksaan di UMS menerusi seorang pensyarah yang mendakwa hanya kuliah biasa dan tiada sebarang peperiksaan atas talian diadakan ketika waktu tersebut
BACA: "Sejujurnya saya sangat sedih dan kecewa" - Veveonah
"Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan jiwa besar (Veveonah) kerana sebagai anak muda yang masih belum berpengalaman, kelemahan dan kesilapan pasti berlaku dalam hidup.
"Selaku wakil rakyat luar bandar dan lahir serta hidup di awal kemerdekaan, saya faham segala kekurangan," katanya.
Tambahnya, beliau bagaimanapun menyedari pembangunan di daerah Pitas dan Bengkoka mempunyai keluasan menandingi beberapa negeri di Semenanjung serta mengambil masa untuk diselesaikan.
#Abdul Rahim Bakri #Ahli Parlimen Kudat #Capaian internet #luar bandar #pedalaman #pitas #Veveonah