IPOH: Belum ada maklumat sahih berhubung isu video tular yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam berada di sebuah kelab malam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui beliau sendiri ada menonton video berkenaan, bagaimanapun sehingga kini tiada maklumat rasmi mengenai perkara tersebut.

"Saya tiada maklumat sahih tentang itu (video tular) sebab saya pun tengok juga video itu, tetapi tidak nampak macam betul ke rupa dia (penasihat Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam).

"Saya tidak berani hendak komen sebab tiada satu maklumat sahih. Saya juga ada membaca blog dan tengok apa yang disampaikan individu bernama Zaharin Mohd Yasin.

"Tak cantiklah kalau saya membuat komen benda yang saya tiada maklumat sah. Saya tidak mahu jadi pemanjang cerita-cerita tak pasti. Saya juga tengok lelaki yang pakai topi tetapi tak pasti sama ada itu dia," katanya.

Saarani yang juga memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri berkata demikian sebagai mengulas isu video berkenaan yang kini tular di media sosial.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Zaharin Mohd Yassin telah memuat naik tangkapan layar daripada video berdurasi 3 minit 24 saat itu pada 2 Mei lalu.

Video tersebut memaparkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di kiri dan kanan beliau.

Lelaki itu kelihatan beraksi seperti sedang mengetuk dram (angin) dengan muzik latar yang kuat.

Sementara itu, pemegang akaun Twitter @FaktaBukanAuta pula menulis; "Tahukah anda sedang trending di media sosial penasihat agama kepada Sultan Perak, penasihat hal ehwal Islam kepada Majlis Raja-Raja, & ahli Majlis Halal Malaysia, mengetuk drum angin di sebuah club".