MALAYSIA

Isu WBB dijangka selesai di bawah kepimpinan baharu KKM - Dr Dzulkefly

Seth Akmal 06/07/2025 | 02:45 MYT
Dr Dzulkefly optimis di bawah kepimpinan yang baharu isu WBB dapat ditangani dengan baik. - Astro AWANI/Seth Akmal
PUTRAJAYA: Isu sistem waktu bekerja berlainan (WBB) yang telah tertangguh sejak Januari melibatkan kakitangan kesihatan awam akan diselesaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan baharu Datuk Dr Mahathar Abd Wahab.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad optimis di bawah kepimpinan yang baharu isu WBB dapat ditangani dengan baik.

“Semua ini sedang diperhatikan oleh kumpulan di bawah kepimpinan Ketua Pengarah Kesihatan baharu…saya yakin perkara ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Tambah beliau beberapa agensi turut terlibat agar isu ini dapat ditangani dengan cermat dan teliti.

“Kita telah melibatkan seperti (contoh) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz) dan semua (untuk) mengambil perhatian,” katanya semasa ditemui pemberita selepas acara flag-off Hari Doktor Keluarga Sedunia 2025 (WFDD) FitCPR Run di sini, hari ini.

Dr Mahathar selaku Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilantik pada 28 Mei menggantikan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, yang bersara wajib pada 1 Mei.

Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkanprojek rintis WBB untuk memberi laluan kepada sebuah kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh pada 24 Januari.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman.

Antara objektif WBB ialah mengurangkan tempoh on-call aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam setiap sesi serta memastikan tiada pegawai perubatan bertugas melebihi 24 jam secara berterusan.

Langkah ini bertujuan mengurangkan keletihan, menjaga kebajikan petugas dan menambah baik kualiti perkhidmatan kesihatan.

Cadangan yang belum dimuktamadkan ketika itu mendapat bantahan dalam kalangan pengamal perubatan yang telah dibebani dengan jumlah waktu kerja lebih masa.




#Kementerian Kesihatan #Dzulkefly Ahmad #KKM #perkhidmatan awam