MALAYSIA
Isytihar harta: Langkah awal tingkat akauntabiliti KPE GLC, GLIC - Azam Baki

AZAM: Apabila semua KPE ini mengisytiharkan harta kepada SPRM, mereka lebih berhati-hati dalam tindakan kerana sebarang usaha untuk menggunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan akan mudah dikenal pasti. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Langkah mewajibkan ketua pegawai eksekutif (KPE) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan langkah awal bagi meningkatkan akauntabiliti masing-masing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pengisytiharan itu memberi isyarat jelas bahawa ketua organisasi perlu bertanggungjawab terhadap harta dan aset mereka, sekali gus membolehkan masyarakat menilai bahawa setiap ketua organisasi tidak akan sewenang-wenangnya mengumpul kekayaan menerusi kedudukan mereka.
"Apabila semua KPE ini mengisytiharkan harta kepada SPRM, mereka lebih berhati-hati dalam tindakan kerana sebarang usaha untuk menggunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan akan mudah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menerima 13 Borang Perisytiharan Harta daripada KPE dan ketua syarikat operasi di bawah Kumpulan Boustead Holdings Bhd (BHB) di pejabatnya di sini.Penyerahan borang itu disempurnakan oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Jabatan Integriti dan Governans BHB, Rosman Johar Abdullah.
Turut hadir, Penolong Naib Presiden Jabatan Integriti dan Governans BHB Wan Azlee Wan Mohd Ghazali.
Dalam kenyataan sama, Rosman berkata langkah itu dilaksanakan sebagai mematuhi arahan kerajaan agar semua KPE GLC dan GLIC membuat perisytiharan harta kepada SPRM sebagai komitmen membudayakan tadbir urus yang baik.
"Tindakan kerajaan ini perlu disokong semua pihak bagi memastikan amalan rasuah bukan sahaja mesti dibanteras, bahkan perlu dicegah daripada awal sebelum ia berlaku," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami