"Itu hanya andaian" ulas Anwar mengenai kenyataan Tun M berhubung serah jawatan PM

Agensi
Jun 24, 2019 09:28 MYT
Kata Anwar Ibrahim, tiada sebarang masalah antara beliau dengan Dr Mahathir. - Gambar fail
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyerahkan jawatan itu dalam tempoh tiga tahun dan bukan dua tahun seperti yang dilaporkan dipersetujui Pakatan Harapan merupakan andaian.
"Itu hanya andaian," jawabnya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Menurut laporan Bernama, Anwar juga memberitahu, tiada masalah antara beliau dan Dr Mahathir berkenaan peralihan jawatan Perdana Menteri.
Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata, soal tarikh dan sebagainya adalah antara mereka berdua.
"Jawapan Perdana Menteri (Dr Mahathir) yang penting ialah bahawa yang dimeterai, yang dijanjikan akan ditunaikan.
"Kita harus beri ruang siapa sahaja Perdana Menteri, mesti diberi ruang supaya mentadbir dengan berkesan tanpa diganggu jadual peletakan jawatan," katanya.
Bagi dirinya dan Dr Mahathir, isu jawatan Perdana Menteri telah selesai dan mereka sentiasa berjumpa setiap minggu, katanya.
"Tidak ada sama sekali sebarang masalah setakat ini bagi peralihan itu," katanya. - BERNAMA
#Anwar Ibrahim #itu hanya andaian #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri