KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) menyasarkan penghasilan tenaga solar sebanyak 21,500 MWh setahun menjelang 2027.


Ringkasan AI
  • Sepanjang tempoh IWK mengendalikan perkhidmatan pembetungan negara, pelbagai anugerah dan pengiktirafan diterima sama ada di peringkat kebangsaan, rantau Asia mahupun antarabangsa.


Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penghasilan tenaga solar itu bersamaan dengan sasaran kos penjimatan sebanyak RM1.8 juta.

"Jumlah sasaran penghasilan tenaga solar sebanyak 21,500 MWh setahun iaitu bersamaan dengan sasaran kos penjimatan sebanyak RM1.8 juta akan dijalankan IWK  selaras dengan usaha dan komitmen negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Pencapaian IWK begitu hebat sekali. Bukan sahaja dalam negeri malahan mendapat nama di persada global. Jadi tahniah dan syabas," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun IWK30 di IWK ECO Park, Pantai Dalam pada Khamis.

Sementara itu, Fadillah mahu IWK terus meneroka teknologi hijau ke arah pembangunan yang lebih mampan, setanding negara-negara maju.

Katanya, IWK perlu meningkatkan inovasi dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memelihara alam sekitar.

Katanya, sepanjang tempoh IWK mengendalikan perkhidmatan pembetungan negara, pelbagai anugerah dan pengiktirafan diterima sama ada di peringkat kebangsaan, rantau Asia mahupun antarabangsa.

"Kalau kita dah mencapai kejayaan dah mencapai nombor satu, kita tak boleh lebih daripada itu lagi. Tapi nak mengekalkan nombor satu itu lebih payah. Lebih mencabar dan saya kira lebih banyak peluang dan ruang sebenarnya untuk IWK mencipta kejayaan lebih besar.

"Bukan sahaja daripada core business iaitu untuk merawat kumbahan dan juga untuk menghasilkan hasil sampingan daripada kumbahan yang kita hasilkan jadi sekarang kita dah cipta tenaga sampingan daripada biogas, cipta baja dan seterusnya merawat air yang dapat digunakan industri bukan untuk minuman tetapi tidak mustahil satu ketika nanti dengan teknologi yang ada dengan kajian yang dibuat, lebih banyak ciptaan sampingan yang boleh dicipta oleh IWK," katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, petugas IWK seringkali berhadapan dengan situasi kotor, sukar dan berbahaya.

"Mereka inilah wira yang tidak didendang yang sering kali mungkin dilupakan kerana kita tidak nampak kerja-kerja di belakang tabir ini.

"Namun, tanpa komitmen mereka yang terus memastikan air sisa kumbahan dirawat dengan cekap, kita pastinya tidak akan merasai keselesaan seperti hari ini. Terima kasih IWK," katanya.