IWK terus komited sedia perkhidmatan cekap dalam apa jua krisis

Haikal Raman
Julai 13, 2020 01:17 MYT
IWK terus beroperasi dalam apa juga keadaan meskipun terpaksa bekerja dalam keadaan 3D iaitu kotor, sukar dan bahaya.
Pengurusan sisa secara lestari, khususnya pengurusan air kumbahan yang cekap, merupakan antara aspek paling penting dalam memulihara alam sekitar serta ekologi.
Ia seterusnya menjamin kesihatan awam dan pastinya akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Kelemahan dalam melaksanakan sistem pembetungan akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar, kerana air kumbahan yang tidak terawat akan menyerap masuk ke persekitaran, khususnya perairan atau sumber air seperti sungai, longkang, muara dan laut.
Ditambah sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata dengan mengambil jalan mudah membuang sisa toksik atau kumbahan ke dalam sungai atau hutan, ia sememangnya memberi kesan amat buruk kepada alam sekitar.
Pada tahun lalu, penduduk Selangor terpaksa menganggung keperitan gangguan bekalan air ekoran tindakan segelintir individu merosakkan alam sekitar termasuk membuang sisa toksik secara haram ke dalam lurang pembetungan.
Insiden jenayah seperti ini telah melumpuhkan pembekalan air bersih harian kepada para pengguna.
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd selaku syarikat pembetungan nasional bersama pihak berkuasa, terpaksa mengerahkan banyak tenaga kerjanya untuk mengekang tindakan tersebut.
Namun, masih terdapat lebih 400,000 lurang pembetungan di seluruh negara yang berpotensi menjadi tumpuan penjenayah bagi melakukan kegiatan haram berkaitan.
Komitmen dan Pengorbanan IWK
Sebagai salah satu perkhidmatan penting negara, IWK terus beroperasi dalam apa juga keadaan meskipun terpaksa bekerja dalam keadaan ‘3D’ iaitu ‘kotor, sukar dan bahaya’ selain seringkali dilupakan.
Ini mungkin kerana kerja-kerja IWK adalah di peringkat akhir kitaran air iaitu merawat air sisa kumbahan daripada pelbagai premis, kepada suatu tahap di mana efluen terawatnya selamat untuk dilepaskan kembali ke perairan atau sungai.
Barisan hadapan IWK yang menguruskan hampir 7,000 loji rawatan kumbahan awam, sentiasa komited dalam melaksanakan tugas-tugas operasi dan menyelenggara bagi memastikan sistem pembetungan negara berjalan lancar biarpun pada tempoh yang sukar seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac hingga Mei baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, meskipun dalam tempoh PKP atau apa juga krisis yang melanda negara, keperluan kepada perkhidmatan IWK untuk merawat air sisa kumbahan daripada premis perumahan atau komersial adalah sangat penting bagi memastikan sumber air tidak tercemar.
Katanya, loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
“Ketika segala kegiatan perniagaan dan pergerakan orang ramai dikurangkan semasa PKP lalu, loji-loji rawatan kumbahan IWK terus beroperasi bagi memasikan efluen terawat yang dilepaskan ke dalam sungai adalah di tahap yang baik dan mengikut piaiwaian yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.
“Pada tempoh itu, keperluan kepada perkhidmatan ini tidak boleh terganggu, biarpun kami terpaksa beroperasi dengan pengurangan kakitangan sebanyak 50 peratus ekoran daripada peraturan yang ditetapkan kerajaan ketika itu.
"Perkara ini sememangnya amat mencabar kepada operasi harian kami, namun IWK tetap komited untuk memastikan perkhidmatan disediakan adalah cekap seperti biasa,” katanya kepada Astro AWANI di sini baru-baru ini.
Kesan COVID-19 dan PKP kepada IWK
Sebagaimana sektor ekonomi lain, Narendran berkata, IWK turut merasai kesan hebat susulan pelaksanaan PKP yang tercetus ekoran pandemik COVID-19 kerana sepanjang tempoh berkenaan, pembayaran bil IWK telah berkurangan secara mendadak.
“Sepanjang tempoh PKP, pembayaran bil IWK adalah berkurangan dan ini semestinya memberi kesan yang hebat kepada kedudukan kewangan syarikat kerana bukan sahaja kos operasi yang sememangnya telah kian meningkat sebelum pandemik ini berlaku, ditambah pula dengan pengurangan ini,” katanya.
Menurutnya, kos operasi dan penyelenggaran IWK kian meningkat dengan penambahan bilangan loji rawatan kumbahan awam yang perlu diselenggara.
Katanya, sejak penubuhan IWK pada tahun 1994, kos operasi pada ketika itu adalah kira-kira RM45 juta bagi menyelenggara 1,043 loji. Kini kos operasi telah meningkat kira-kira RM800 juta bagi menyelenggara hampir 7,000 loji dan 1,228 stesyen pam.
Tegas Narendran, caj perkhidmatan pembetungan IWK tetap sama sejak penubuhannya pada 26 tahun lalu iaitu antara RM2 hingga RM8 sebulan bagi pelanggan domestik perkhidmatan bersambung.
“IWK tidak pernah menaikkan caj perkhidmatannya sedangkan kos operasi bagi setiap anggaran isi rumah adalah kira-kira RM18.20 sebulan. Bayangkan jurang perbezaan yang tinggi antara kos sebenar dengan apa yang pelanggan perlu bayar,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya bagi kemampanan kewangan serta masa depan sistem pembentungan negara dan pemuliharaan alam sekitar, sudah tiba masanya bagi caj perkhidmatan pembetungan IWK dikaji semula mengikut kadar yang berpatutan.
Ini kerana, biarpun dengan kadar caj yang antara terendah di dunia, IWK terus membuktikan bahawa kecekapan dan kualiti perkhidmatan yang dijalankan selama ini adalah antara yang terbaik di rantau ini.
Malah, komitmen dan semangat yang ditunjukkan syarikat pembetungan nasional ini tidak dapat disangkal lagi.
Ketika tempoh PKP antara 18 Mei hingga 30 Mei, IWK menerima kira-kira 20,000 aduan orang ramai mengenai masalah pembetungan dan hampir 97 peratus daripada aduan ini telahpun diselesaikan.
Pada masa yang sama, IWK juga mewujudkan Pasukan Ronda di kawasan kritikal seperti kawasan tadahan air di Sungai Langat dan Sungai Selangor.
Pasukan IWK ini, bersama pihak berkuasa lain, menjalankan kerja-kerja pengawasan untuk memastikan tidak ada aktiviti-aktiviti pembuangan sisa secara haram yang boleh menjejaskan sistem pembetungan.
Di samping itu, sebagai syarikat yang prihatin, IWK turut menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporatnya dengan memberi sumbangan barangan keperluan hospital kepada Kementerian Kesihatan serta barangan keperluan asas dan makanan kepada golongan yang memerlukan sepanjang tempoh PKP.
Hakikatnya, IWK adalah sebuah syarikat utiliti yang sangat mustahak terhadap kehidupan seharian manusia dan telah menyumbang banyak pembaharuan dan permodenan terhadap pembangunan sistem pembetungan negara.
Sehingga kini, sebanyak 88 daripada 102 PBT di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan telah menyerahkan pengurusan sistem pembetungan masing-masing kepada IWK.
Sejak pengambilalihan ini, IWK telah membaik pulih dan mempertingkatkan sistem-sistem pembetungan seluruh negara termasuk rangkaian paip-paip pembetungan, stesen-stesen pam dan loji-loji rawatan kumbahan yang sehingga kini memberi perkhidmatan kepada kira-kira lebih 25 juta penduduk setara.
#ambil alih #bayaran bil #COVID-19 #efluen #efluen terawat #ekonomi #Indah Water Konsortium #IWK #JAS #kaji semula caj #koronavirus #loji rawatan #Narendran Maniam #pandemik #pembentungan #penyelenggaraan #pergerakan #PKP #rawatan #sekatan #sisa kumbahan #sumber air