Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan tidak terlibat dan mengetahui dalam sebarang kelulusan kawasan pembalakan dan penerokaan tanah di Kelantan.

Pengarah JAS Kelantan, Hamzah Mohamed berkata, ini kerana Jabatan Alam Sekitar tidak dipanggil dan bukan sebagai Ahli dalam Jawatankuasa Kecil Perhutanan Kelantan yang terlibat dalam soal kelulusan kawasan dan pemberian konsesi pembalakkkan di seluruh Kelantan.

Beliau turut menegaskan, jabatannya hanya akan menjalankan pemantauan ke atas penerokaan tanah dan pembukaan kawasan yang mendapat kelulusan laporan kesan Alam Sekitar (EIA).

Katanya, pihaknya mempunyai pasukan pemantauan di Gua Musang yang menjalankan pemantauan setiap masa serta menghantar laporan secara berkala.

“Tidak benar sekiranya mendakwa JAS gagal menjalankan pemantauan ke atas kawasan yang mengemukakan laporan EIA, kerana pihak kami mempunyai pasukan pemantau khas yang menjalankan kerja kerja pemantauan," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Jabatan Alam Sekitar gagal menjalankan kerja pemantauan kesan alam sekitar di kawasan penempatan Orang Asli selepas Kerajaan Persekutuan bertindak mengemukakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat orang asli terhadap kerajaan negeri Kelantan berhubung tanah adat Pos Simpor, Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, hal itu susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.

Beliau menjelaskan, syarikat terlibat telah memasuki tanah adat orang asli Temiar di Pos Simpor menggunakan jentera berat dan menebang hutan serta membawa keluar kayu balak.

Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber mereka sekali gus menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu, menetapkan 14 April depan untuk perbicaraan permohonan injunksi kes saman kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri bagi menghalang lima syarikat kontraktor pembalakan daripada memasuki kawasan yang didakwa tanah adat Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan.

Ia susulan saman yang difailkan kerajaan persekutuan terhadap kerajaan Kelantan dan tujuh lagi untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat bagi suku Temiar di kawasan tersebut.

Kerajaan Persekutuan menfailkan defendan pertama hingga kelima melibatkan kerajaan negeri Kelantan, pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Kelantan, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Selain itu lima lagi defendan melibatkan Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Berhad, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Berhad sebagai defendan keempat hingga kelapan.

Menurut Hamzah lagi, dalam rekod jabatan hanya satu syarikat, Fleet Precision Sdn Bhd mengemukakan laporan EIA, kepada Jabatan Alam Sekitar Kelantan untuk aktiviti perladangan mereka.

“Bagi kawasan tak ada EIA, JAS tak ada kuasa, kawasan yang ada kelulusan hanya Fleet Precision Sdn Bhd dan berdasarkan pemantauan kita tapak fleet tu dah siap tanam bermakna siap ditanam dan dia tidak ada pencemaran” katanya

Beliau memaklumkan Jabatan Alam Sekitar tidak mempunyai rekod dan maklumat berhubung empat lagi syarikat yang namanya turut disebut sebagai defendan dalam prosiding mahkamah itu.

“Jadi kita tak tahu samada empat lagi syarikat itu pernah dirujuk untuk mengemukakan laporan EIA atau tidak, atau syarikat berkenaan telah bertukar nama dan sebagainya kerana kita tak ada rekod tentang syarikat berkenaan” katanya.

“Jabatan Alam Sekitar telah menguatkuasakan Perintah EIA, pada 2015 di mana sebarang pembukaan dan penerokaan kawasan hutan memerlukan laporan EIA mengikut peruntukkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas kawasan dengan keluasan melebihi 100 ekar” katanya ketika ditemui di sini pada khamis.

Namun katanya sebelum tahun 2015, pematuhan Perintah EIA tidak dikuatkuasakan yang mana sebarang pembukaan kawasan dan penerokaan tanah tidak memerlukan laporan kesan alam sekitar