Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh tidak terlibat kenakan caj kepada waris jenazah

Bernama
Julai 21, 2021 20:27 MYT
Dr Kuldip berkata, Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh tidak sama sekali terlibat dalam mengenakan caj kepada waris si mati. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hospital Sungai Buloh menjelaskan bahawa Jabatan Forensik hospital itu hanya terlibat dalam mengendalikan urusan pengambilan jenazah dari wad sehingga tempat penyimpanan dan pengurusan jenazah COVID-19 serta bukan COVID-19 sahaja.
Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur dalam kenyataan berkata pihak Jabatan Forensik tidak sama sekali terlibat dalam mengenakan caj kepada waris si mati.
"Kesemua waris perlulah berurusan sendiri dengan syarikat yang dipilih oleh waris bagi pengurusan pengebumian pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan menerusi satu mesej suara dalam aplikasi WhatsApp baru-baru ini mengenai caj pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang mencecah hingga RM9,000.
-- BERNAMA
#WhatsApp #COVID-19 #pandemik #Jabatan Forensik #Hospital Sungai Buloh #caj #pengurusan jenazah #pesakit COVID-19 #waris #Kuldip Kaur