Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Jabatan Hutan Sarawak nafi batal ceramah di Jepun gara-gara kehadiran NGO dari Sarawak

Rudi Affendi Khalik 19/11/2025 | 01:10 MYT
Seminar tersebut diadakan selaras dengan majlis menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Sarawak dan OMU, Jepun dan ia berkait dengan penyelidikan saintifik. - Gambar ihsan Jabatan Hutan Sarawak
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak hari ini menafikan pihaknya telah membatalkan ceramah khas di Universiti Metropolitan Osaka baru-baru ini berikutan kehadiran beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak.

Menerusi satu kenyataan, jabatan itu berkata, sebaliknya, delegasi jabatan tersebut telah memenuhi jemputan tuan rumah, iaitu Universiti Metropolitan Osaka (OMU) dan membentangkan kertas kerja mengenai kerjasama penyelidikan dengan National Institute for Environmental Studies (NIES) Jepun kepada pensyarah, penyelidik, saintis dan pelajar OMU.

"Oleh itu, kenyataan ini menafikan secara tegas artikel bertajuk “Sarawak Government Ducks Indigenous Activist in Japan” yang diterbitkan pada 12 November 2025 di laman web The Borneo Project," kata kenyataan itu.

Menurut jabatan berkenaan, seminar tersebut diadakan selaras dengan majlis menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Sarawak dan OMU, Jepun dan ia berkait dengan penyelidikan saintifik.

" Ia berlangsung seperti dijadualkan pada 12 November 2025 dan terhad sepenuhnya kepada pensyarah, penyelidik, saintis dan pelajar.

" Percubaan oleh aktivis, termasuk Lerroy Lemen daripada KERUAN, untuk mendaftar atas nama Japan Tropical Forest Action Network (JATAN) telah ditolak oleh penganjur Jepun kerana mereka bukan pelajar, pensyarah, penyelidik atau saintis yang ada hubungan dengan OMU.

" Percubaan sebegitu jelas didorong oleh agenda untuk menghasut komuniti orang asal dengan mempromosikan dakwaan penyahhutanan - tuduhan yang tidak relevan dengan sifat akademik seminar tersebut," tegas kenyataan itu lagi.

Berhubung permintaan untuk bertemu delegasi Jabatan Hutan Sarawak mengenai pengeluaran lesen pembalakan kepada Borneoland Timber Resources, perkara tersebut kini menjadi subjek semakan kehakiman yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Miri.

"Sebarang ulasan lanjut akan menjurus kepada subjudis dan boleh mengganggu proses mahkamah," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan tersebut, komuniti setempat di Ulu Baram melalui ketua masyarakat dan ketua kaum mereka telah meminta serta menyokong kuat usaha pembangunan bagi memenuhi keperluan mereka, termasuk kesalinghubungan jalan raya, infrastruktur asas dan projek pembangunan lestari.

Oleh itu, jabatan tersebut menafikan dakwaan oleh Lerroy Lemen bahawa acara tersebut dibatalkan pada saat akhir.

Dalam masa sama, jabatan itu juga kecewa dengan kenyataan menghina oleh Pengarah SAVE Rivers, Celine Lim terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg susulan penganugerahan "Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star" daripada Kerajaan Jepun.

Celine mendakwa “tiada merit untuk Abang Johari menerima anugerah berprestij ini.

Sehubungan itu, Jabatan Hutan Sarawak menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat kenyataan berunsur kebencian tersebut.




#Jabatan Hutan Sarawak #nafi batal ceramah #NGO Sarawak #Universiti Metropolitan Osaka