PUTRAJAYA: Tiga anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, yang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berada di luar negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Beliau berkata rekod Jabatan Imigresen (JIM) menunjukkan ketiga-tiga mereka dikesan keluar dari negara ini pada hujung Januari dan awal bulan ini.
Advertisement
“Berdasarkan rekod JIM, tiga orang telah keluar dari Malaysia antara hujung Januari dan awal Februari.
“Seorang lagi tiada rekod pergerakan keluar negara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, SPRM memaklumkan sedang mengesan empat anak Allahyarham Daim bagi membantu siasatan satu kes dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.
Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM, individu berkenaan ialah Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim.
-- BERNAMA