MALAYSIA

Jabatan Imigresen tahan 57 pendatang tanpa izin di Kuantan

Bernama 07/11/2025 | 04:05 MYT
Dalam operasi tersebut, seramai 258 individu diperiksa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. - Foto JIM Pahang
KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan 57 pendatang tanpa izin dalam satu operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sekitar Kuantan, hari ini.

JIM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan dalam operasi tersebut, seramai 258 individu diperiksa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua 57 individu yang ditahan akan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) akta sama dan ditempatkan di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut. Pemilik-pemilik premis terlibat akan dikesan bagi membantu siasatan," menurut hantaran itu.

Menurut hantaran sama, operasi yang disertai 18 pegawai itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung aktiviti individu yang disyaki memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin.

JIM Pahang turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu berkenaan di negeri ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA







#Jabatan Imigresen Malaysia #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #pendatang tanpa izin #Kuantan