Jabatan Insolvensi Malaysia akan menjelajah ke seluruh negara bagi menerangkan manfaat daripada perubahan dasar yang telah diluluskan menerusi Rang Undang-undang Kebankrapan (Pindaan) 2016).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan yang telah diluluskan Parlimen itu merupakan salah satu usaha untuk mensejahterakan rakyat.

“Lapan perubahan dasar yang telah diluluskan adalah perlindungan penjamin sosial, notis kebankrapan disampaikan secara kendiri, mekanisme penyelamat dan nilai minima kebankrapan dinaikkan.


“Perubahan lain yang turut dilakukan adalah pelepasan automatik, pelepasan bankrap tanpa bantahan pemiutang, sistem satu perintah kebankrapan dan tabung bantuan insolvensi,” katanya selepas melancarkan Jelajah RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016 dan aplikasi MyDI pada Selasa.

Beliau pada majlis sama turut melancarkan aplikasi MyDI bagi memudahkan semakan status kebankrapan.

"Aplikasi ini akan memudahkan orang awam untuk membuat semakan tanpa perlu ke pejabat Jabatan Insolvensi negeri, sekaligus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pengarah Insolvensi Datuk Abdul Rahman Putra Datuk Taha, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Jalil Marzuki.