Jabatan kerajaan berisiko rasuah bakal disenarai - SPRM Kelantan

Bernama
Ogos 2, 2017 23:00 MYT
Moh Samsudin (gambar) berkata SPRM telah memberi amaran kepada ketua jabatan dan agensi supaya sentiasa membuat penambahbaikan bagi mengelak berlakunya kesalahan tersebut. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan menyenaraikan 10 jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini yang berisiko terbabit dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa, pada Oktober depan.
Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof berkata pihaknya juga akan menyenaraikan lima jabatan dan agensi kerajaan yang paling bersih daripada kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
"Jabatan dan agensi yang dikenal pasti berisiko terbabit dengan rasuah atau salah guna kuasa akan diminta memperbaiki kelemahan yang ada secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah oleh warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di sini, pada Rabu.
Beliau berkata SPRM telah memberi amaran kepada ketua jabatan dan agensi supaya sentiasa membuat penambahbaikan bagi mengelak berlakunya kesalahan tersebut.
"Sekiranya wujud kes rasuah atau salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, kami akan merujuk kes itu kepada timbalan pendakwa raya untuk didakwa di mahkamah," katanya.
Bagi lima jabatan dan agensi terbaik yang bersih daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa pula akan diberi penghargaan oleh SPRM.
-- BERNAMA
#berisiko #Kelantan #Moh Samsudin Yusof #Rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia