NATIONAL

Jabatan Kesihatan Melaka diarah siasat dakwaan bayi demam panas dibiar 11 jam - Exco

Bernama 12/05/2025 | 08:45 MYT
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata beliau mengambil maklum kes tular berkenaan dan mahu siasatan dilakukan secara segera dan menyeluruh. - Gambar fail
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diarah melakukan siasatan terhadap dakwaan kes bayi perempuan berusia 22 bulan yang mengalami demam panas dibiarkan menahan kesakitan selama 11 jam sehingga diserang sawan di Hospital Melaka, awal pagi semalam.

Ringkasan AI
  • Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diarah menyiasat kes bayi 22 bulan yang mengalami demam panas dan dikatakan menunggu selama 11 jam sebelum diserang sawan.
  • Ibu bayi mendakwa anaknya hanya diuji darah tanpa rawatan segera, menyebabkan suhu badan meningkat sehingga 40 darjah Celsius, sementara video kejadian tular dan mengundang reaksi sedih masyarakat.
  • Exco Kesihatan Negeri Melaka menegaskan siasatan menyeluruh akan dilakukan dan menggesa agar tidak ada andaian dibuat sehingga kes diselesaikan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata beliau mengambil maklum kes tular berkenaan dan mahu siasatan dilakukan secara segera dan menyeluruh.
"Saya sudah hubungi Pengarah Kesihatan Melaka (Dr Ruzita Mustaffa) serta pengurusan tertinggi Hospital Melaka dan meminta mereka membuat siasatan terhadap kes ini dan dalam masa yang sama berharap mana-mana pihak tidak membuat andaian sehingga kes ini selesai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu tular video berdurasi 13 minit mengenai seorang bayi menangis menahan kesakitan sehingga mengundang reaksi sedih pengguna media sosial dan menggesa agar kes berkenaan disiasat.
Dalam pada itu, ibu bayi berkenaan Siti Aishah Rahim, 27, dalam status di Facebook berkata dia dan ibunya tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada 2.30 petang Sabtu selepas tubuh anak sulungnya itu, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus tiba-tiba panas.
Beliau mendakwa sebaik tiba di hospital, jururawat cuma mengambil darah dan terus membiarkan sehingga suhu badan anaknya meningkat kepada 40 darjah Celsius.
"Puas saya bertanya dan jawapan yang diberikan supaya terus tunggu sehinggalah bayi saya diserang sawan 1 pagi semalam (Ahad) dan menyebabkan badannya kejang," katanya dan memaklumkan anaknya itu kemudian dibawa ke Zon Kuning dari Zon Hijau selepas kesihatan semakin teruk sebelum doktor cuba menstabilkannya.
--BERNAMA
#Jabatan Kesihatan Negeri Melaka #bayi mengalami demam panas #dibiarkan menahan kesakitan #exco Melaka #Ngwe Hee Sem #terkini