Jabatan Kesihatan Pulau Pinang rampas 48 produk 'mustajab'

Bernama
Januari 14, 2019 21:34 MYT
Pegawai-pegawai Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melakukan pemeriksaan ketika melakukan operasi di salah sebuah premis menjual produk kesihatan pada Isnin. --fotoBERNAMA
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merampas 48 jenis produk di sebuah premis di sini, pada Isnin, yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM, Mohd Wazir Khalid yang mengetuai operasi pemeriksaan di premis makanan kesihatan di Jalan Baru itu, berkata produk-produk berkenaan hanyalah makanan tambahan yang bernilai RM1,648.
"Pihak BKKM juga menemui beberapa produk yang menyembunyikan iklan khasiat palsu makanan kesihatan di dalam kotak produk berkenaan bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan notis kompaun RM6,000 kepada pemilik premis berkenaan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 18E Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
"Pengeluar produk (yang dirampas) ini juga didapati meletakkan risalah iklan mengelirukan di dalam kotak produk bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.
-- BERNAMA
#Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan #BKMM #iklan palsu #Jabatan Kesihatan Pulau Pinang #khasiat palsu #kompaun #makanan kesihatan #makanan tambahan #menyembuh penyakit #Mohd Wazir Khalid #mustajab #penyakit #produk