MALAYSIA

Jabatan Muzium Malaysia simpan hampir 500,000 koleksi

Irfan Faruqi 04/11/2025 | 12:15 MYT
Mohd Razaimi berkata ketika ini hanya sebilangan kecil sahaja dipamerkan kepada orang awam. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menyimpan hampir 500,000 koleksi etnologi, arkeologi dan alam semula jadi di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • JMM menyimpan hampir 500,000 koleksi etnologi, arkeologi dan alam semula jadi, namun hanya sebahagian kecil dipamerkan kepada umum. Koleksi ini dihidupkan melalui penceritaan, penyelidikan dan penerbitan untuk menyebarkan ilmu sejarah, seni dan budaya. Selepas pandemik, kunjungan muzium meningkat dengan 1.87 juta pengunjung direkodkan sehingga September 2025, didominasi golongan muda.


Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd Razaimi Hamat berkata ketika ini hanya sebilangan kecil sahaja dipamerkan kepada orang awam.

"Koleksi-koleksi ini berperanan untuk menceritakan naratif sejarah, budaya dan warisan kita. Kita hidupkan koleksi ini melalui penceritaan, penyelidikan dan pemeliharaan semua koleksi tersebut.

“Bahan yang dipamerkan di muzium hanyalah sebilangan kecil daripada koleksi yang ada. Masih terlalu banyak yang belum dipamerkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Jabatan Muzium Malaysia simpan hampir 500,000 koleksi

Tambah Mohd Razaimi, dalam konteks menyebarkan ilmu pengetahuan berkaitan sejarah, seni dan budaya, jabatan berkenaan juga mengedarkan bahan penerbitan mengenai semua koleksi yang disimpan.

Untuk konteks, JMM kini berada di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sejak penghujung 2022, selaras dengan Dasar Perpaduan Negara yang menekankan patriotisme, demokrasi, identiti nasional dan ekosistem perpaduan.

Sejarah permuziuman negara bermula dengan penubuhan Muzium Perak di Taiping pada 1883, diikuti Muzium Sarawak pada 1888. Muzium Negara ditubuhkan pada 1963 sebelum dinaik taraf menjadi Jabatan Muzium Negara, dan akhirnya menjadi Jabatan Muzium Malaysia pada 2006. Kini, terdapat 22 muzium di bawah pentadbiran JMM, termasuk Muzium Negara.

Statistik terkini menunjukkan kunjungan ke muzium meningkat selepas era pandemik, dengan pengunjung muda mendominasi trend semasa. Sehingga 31 September 2025, JMM merekodkan 1.87 juta pengunjung daripada sasaran 2.2 juta, dengan Muzium Negara mencatat hampir 500,000 pengunjung.


Agenda AWANI: Merakyatkan muzium: Menjejak warisan, menyulam identiti





#perpaduan #Jabatan Muzium Malaysia #sejarah #koleksi etnologi