Jabatan Peguam Negara masih mengkaji surat representasi yang difail oleh beberapa pihak yang meminta jabatan itu mengkaji semula keputusannya itu untuk menggugurkan pendakwaan terhadap seorang ibu tunggal atas tuduhan membuat laporan palsu mengenai seorang lelaki berhubung satu kes cabul yang melibatkan kanak-kanak perempuan berumur empat tahun.

Satu sumber dari Pejabat Peguam Negara berkata jabatan itu menerima beberapa surat representasi, antaranya daripada pertubuhan Malaysia Hindu Sangam (MHS), peguam yang mewakili pengadu dan bekas majikan pengadu.

"Kami akan melihatnya dan akan membuat keputusan kemudian nanti, selepas menimbangkan pelbagai aspek sama ada dapat mengkaji semula keputusan untuk menggugurkan pendakwaan terhadap yang dituduh," katanya kepada Bernama semasa dihubungi pada Khamis.

Pada 16 April, Maya Ahmad Fuaad, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap dakwaan membuat laporan palsu kepada Kpl Hazarul Shahkifly Setia, dengan niat untuk meminta polis mengambil tindakan terhadap K.Mathurai Veeran, pemandu kepada bekas bapa mentua Maya.

Mathurai Veeran adalah pengadu dalam kes ini.

Maya didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Kota Damansara pada 30 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun pada 1 Okt lepas, pejabat Peguam negara menggugurkan pertuduhan terhadapnya sebelum perbicaraan bermula.

Sementara itu MHS dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis mendedahkan bahawa ia menghantar surat representasi bagi pihak Mathurai Veeran kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat dakwaan terdapat "tangan ghaib" yang mempunyai hubungan dengan kerajaan terdahulu, yang memberi tekanan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pendakwaan, selepas ada pihak cuba 'membayar" Mathurai Veeran supaya menarik balik aduannya.

"Kami Malaysia Hindu Sangam sepakat berdiri teguh bersama Mathurai Veeran dan anggota keluarganya menggesa Peguam negara menyiasat peranan 'tangan ghaib' yang memberi tekanan kepada pejabat peguam negara untuk menggugurkan dakwaan terhadap Maya pada 1 Oktober 2018 sebelum perbicaraan bermula," kata Datuk Shan, president of MHS.

Katanya mereka amat terkejut apabila tidak lama selepas persidangan media pertama pada 18 Okt lepas untuk mengetengahkan perkara itu, wujud langkah berani oleh seorang individu menawarkan wang kepada Mathurai Veeran supaya beliau menarik balik aduannya.

"Pejabat Peguam Negara menggugurkan pendakwaannya beberapa hari selepas Mathurai mendapat tawaran itu. Ia memang nampak meragukan. Mathurai sudah menfail laporan kepada polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Menurut kenyataan itu Mathurai Veeran ternyata tidak bersalah apabila tuduhan cabul terhadapnya diklasifikasikan sebagai "No Further Action" (NFA) dan Maya sebaliknya didakwa pada 16 April mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas dakwaan membuat laporan palsu.

-- BERNAMA