Skip to main content

Malaysia

Jabatan Penjara beri kerjasama penuh siasatan banduan mati dipukul di Penjara Marang

51714396355_JabatanPenjara.jpg
Jabatan Penjara berkata pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan, termasuk mengenal pasti punca kejadian serta penglibatan mana-mana individu yang berkaitan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan kes kematian seorang banduan di Penjara Marang, Isnin lepas, dijalankan secara menyeluruh dan telus

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara memaklumkan kejadian itu melibatkan seorang banduan lelaki berusia 38 tahun yang dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dipukul oleh beberapa banduan lain.

Menurut kenyataan itu, pihak Penjara Marang bertindak segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ), Kuala Terengganu bagi tujuan bedah siasat," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara berkata pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan, termasuk mengenal pasti punca kejadian serta penglibatan mana-mana individu yang berkaitan.

“Jabatan Penjara memandang serius kejadian itu dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini, khususnya ketika siasatan masih berjalan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan seorang banduan lelaki maut dipercayai dipukul tiga banduan lain.

Ketua Polis Daerah Marang Supt Sofian Redzuan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 12.31 tengah hari Isnin daripada seorang warden penjara berkenaan.

Mangsa yang berusia 38 tahun dan berasal dari Terengganu dipercayai dipukul di sebuah bilik oleh tiga suspek berusia antara 21 hingga 35 tahun.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement