Skip to main content

Malaysia

Jabatan Penjara teliti dakwaan gangguan bekalan air, kebersihan di Penjara Kajang

Hari ini, Lawyers for Liberty dalam kenyataan membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan kekurangan bekalan air dan keadaan tidak bersih di Penjara Kajang. - Gambar fail/Bernama
Hari ini, Lawyers for Liberty dalam kenyataan membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan kekurangan bekalan air dan keadaan tidak bersih di Penjara Kajang. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Jabatan Penjara sedang menyiasat dakwaan NGO mengenai gangguan bekalan air, kebersihan dan penyediaan makanan di Penjara Kajang.
  • Tindakan penambahbaikan segera akan diutamakan bagi menangani kekurangan berkaitan kemudahan asas, kebersihan dan kebajikan penghuni.
  • Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan merujuk saluran rasmi Jabatan Penjara untuk maklumat sahih bagi elak kekeliruan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara meneliti dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung gangguan bekalan air, kemudahan kebersihan dan penyediaan makanan yang berlaku di Penjara Kajang.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu dibuat bagi mengenal pasti keadaan sebenar serta memastikan perkara berkenaan diberikan perhatian sewajarnya.

“Pada masa yang sama, langkah penambahbaikan segera akan diberikan keutamaan untuk menangani sebarang kekurangan yang dikenal pasti, khususnya berkaitan kemudahan asas, kebersihan dan kebajikan penghuni,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Jabatan Penjara sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan, kesihatan, kebersihan dan keselamatan penghuni, termasuk penyediaan keperluan asas selaras dengan peraturan serta prosedur yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam serta merujuk kepada saluran rasmi Jabatan Penjara Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, Lawyers for Liberty dalam kenyataan membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan kekurangan bekalan air dan keadaan tidak bersih di Penjara Kajang selepas pihaknya menerima aduan Isnin lepas daripada wakil guaman banduan yang terlibat dalam perbicaraan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang berlangsung di dalam penjara berkenaan.

Aduan itu melibatkan bekalan air terhad, air minuman tidak mencukupi, kesukaran menggunakan tandas, dulang makanan yang kotor dan kebimbangan mengenai kebersihan makanan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement