Skip to main content

Malaysia

Jabatan Perikanan lancar eSPeKS, AquaTrack bantu urusan penternak akuakultur

IPOH, 9 April -- Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain bercakap ketika sidang media pada program Sesi Libat Urus Pindaan Akta Perikanan 2025 dan Kesan Perang Iran-Amerika Syarikat Terhadap Sektor Perikanan Negara Bagi Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak di Jabatan Perikanan Negeri Perak di sini, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Adnan berkata kedua-dua aplikasi ini saling melengkapi dengan eSPeKS memudahkan urusan permohonan bantuan dalam talian manakala AquaTrack membantu penternak mengurus dan merekod operasi ladang secara digital. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

SERDANG: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melancarkan dua aplikasi digital percuma, Elektronik Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan Akuakultur (eSPeKS) dan AquaTrack bagi memudahkan penternak akuakultur.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata kedua-dua aplikasi ini saling melengkapi dengan eSPeKS memudahkan urusan permohonan bantuan dalam talian manakala AquaTrack membantu penternak mengurus dan merekod operasi ladang secara digital.

"eSPeKS mendigitalkan keseluruhan proses permohonan, penilaian dan kelulusan bantuan serta semua maklumat disimpan dalam pangkalan data berpusat bagi memudahkan pemantauan serta urusan permohonan dengan jabatan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini pada Selasa.

Adnan berkata AquaTrack berfungsi sebagai buku log digital untuk memantau prestasi ternakan, merangkumi rekod kemasukan benih, penggunaan makanan dan hasil tuaian.

"Ia turut dilengkapi fungsi pengiraan Kadar Penukaran Makanan (FCR) secara automatik, anggaran kos pengeluaran dan titik pulang modal bagi membantu perancangan operasi.

“Platform ini juga menyediakan panduan ternakan, maklumat penyakit ikan dan udang serta kebolehan menjana laporan perusahaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata Malaysia dan Thailand selesai melaksanakan pemeriksaan maya melibatkan sektor penternakan siakap dan udang sebagai sebahagian daripada proses penilaian aktiviti pengeksportan antara kedua-dua negara.

Pemeriksaan pada minggu pertama Ogos itu dijalankan selepas kedua-dua pihak menyemak borang soal selidik berkaitan status dan kaedah penternakan.

“Proses tersebut melibatkan beberapa ladang ternakan dan pusat penetasan benih bagi menilai kawalan penyakit serta aspek kesihatan manusia, termasuk penggunaan bahan kimia dilarang di bawah Akta Makanan 1983.

“Kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil pemeriksaan ladang masing-masing. Kini kami menunggu rundingan akhir bersama pihak Thailand sebelum mengemukakan syor kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya.

Mengenai isu jerebu, Adnan menasihati nelayan khususnya yang menaiki bot kecil atau sampan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan kesihatan, memakai penutup muka serta memantau Indeks Pencemar Udara (IPU).

Beliau turut menggalakkan nelayan bergerak secara berkumpulan, memaklumkan lokasi kepada keluarga dan memanfaatkan peralatan navigasi seperti radar dan GPS jika jarak penglihatan terhalang.

Bagi sektor akuakultur, penternak dinasihatkan merancang aktiviti dengan baik ketika cuaca panas dan jerebu bagi mengelakkan risiko kematian ternakan akibat tekanan atau penyakit.

“Kurangkan kadar tebaran jika ikan menunjukkan tanda tekanan dan segera jual ikan yang telah mencapai saiz pasaran bagi mengurangkan risiko kerugian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement