MALAYSIA

Jabatan Perikanan Pahang pantau empat lokasi pendaratan penyu

Bernama 29/07/2025 | 15:00 MYT
Jabatan Perikanan Pahang memaklumkan lokasi pendaratan penyu itu melibatkan Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan. - Gambar fail/Jabatan Perikanan Terengganu
KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang akan menjalankan pemantauan secara berterusan di empat lokasi pendaratan penyu di negeri ini susulan insiden kacau ganggu terhadap seekor penyu agar, Ahad lepas.

Jabatan Perikanan Pahang memaklumkan lokasi pendaratan penyu itu melibatkan Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan.

"Jabatan Perikanan Pahang memandang serius insiden kacau ganggu oleh tiga individu terhadap seekor penyu agar yang sedang naik ke pantai yang dipercayai untuk bertelur di Pantai Pendaratan Penyu Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Cherating pada 27 Julai.

"Jabatan telah menjalankan siasatan awal di lokasi dan membuat laporan polis di Balai Polis Cherating. Usaha pengesanan dan tindakan susulan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak polis," menurut Jabatan Perikanan Pahang dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Perikanan Negeri Roslan Abu Hasan dalam kenyataan sama berkata pihaknya amat kesal dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu yang mencerminkan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam.

"Mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap, atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM500 dan tidak melebihi RM20,000," katanya.

Roslan turut menyeru kerjasama komuniti setempat dan pengusaha pelancongan untuk terus memelihara kelestarian sumber marin, serta laporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan agar haiwan tersebut terus selamat dan mendarat di perairan negeri ini.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud memaklumkan pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian mengganggu seekor penyu yang sedang bertelur di PKPP dan sedang mengesan dua lagi rakan lelaki itu.

-- BERNAMA


#PKPP #pelancongan #sumber marin #penyu