MALAYSIA

Jabatan Warisan Negara fokus latih pelapis generasi baharu bidang arkeologi bawah air

Faida Rahim 05/09/2025 | 07:30 MYT
Hasrizal berkata, Malaysia banyak bergantung kepada pendidik luar dalam bidang arkeologi sebelum tahun 2000. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jabatan Warisan Negara (JWN) kini giat melaksanakan usaha melatih generasi muda dalam bidang arkeologi bawah air sebagai langkah strategik memperkukuh kepakaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan pakar luar negara.


Ringkasan AI
  • JWN melatih generasi muda dalam arkeologi bawah air bagi membangunkan kepakaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pakar luar, selaras dengan pendekatan baharu selepas penggubalan Akta Warisan 2025.
  • JWN menjadi entiti pertama menawarkan lesen penyelaman arkeologi bawah air di bawah inisiatif STI, bertujuan melahirkan penyelam saintifik yang mahir secara teknikal dan memahami nilai warisan negara.
  • Kolaborasi strategik bersama Nautical Archaeological Society akan dimeterai tahun hadapan bagi membangunkan modul arkeologi bawah air peringkat nasional, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pemuliharaan warisan maritim Asia Tenggara.


Ketua Penyelidik ASEAN Archaeological Meet 2025, Prof Madya Hasrizal Shaari, yang kerap bekerjasama dengan JWN, berkata Malaysia banyak bergantung kepada pendidik luar dalam bidang arkeologi sebelum tahun 2000, namun sejak tertubuhnya Akta Warisan 2025, pendekatan baharu telah digerakkan untuk membangunkan kepakaran tempatan secara berterusan.

"Dari segi kebergantungan kepada pendidik luar itu tinggi terutama sebelum tahun 2000. Kemudian bila mana wujudnya Akta Warisan 2025, kita mula latih kepakaran tempatan dan di situ kita berpendapat negara perlukan satu anjakan untuk kita libatkan khususnya generasi-generasi baharu dalam bidang arkeologi.

"Jadi di sini kita masa untuk payback time (beri semula), untuk kita latih kepada generasi muda atau baharu untuk minat dalam bidang arkeologi bawah air," katanya dalam temu bual bersama AWANI Pagi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Arkeologi JWN, Zaharuddin Abu, berkata dalam usaha memperkasa bidang ini, JWN menjadi entiti pertama di Malaysia yang menawarkan lesen penyelaman arkeologi bawah air di bawah inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Jelas beliau lagi, lesen ini bertujuan melahirkan penyelam saintifik yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, tetapi juga memahami nilai warisan negara.

Tambah beliau, pada tahun hadapan, satu kolaborasi strategik akan dimeterai bersama Nautical Archaeological Society bagi mewujudkan modul pembangunan arkeologi bawah air di peringkat nasional, satu pencapaian penting yang bakal membuka ruang kepada lebih banyak penyelidikan dan pemuliharaan warisan maritim negara.

“Kita sedang beralih daripada selaman rekreasi kepada selaman saintifik dan arkeologi. Ini adalah evolusi yang sedang kita gerakkan,” jelas beliau.

Inisiatif ini dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan kapasiti tempatan dalam bidang arkeologi bawah air serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pemuliharaan warisan maritim di rantau Asia Tenggara.









#Warisan #Jabatan Warisan Negara #bidang arkeologi bawah air #Akta Warisan 2025