[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

JAC tidak ikat kuasa PM, perlu pinda Perlembagaan - Pakar

Seth Akmal 14/07/2025 | 23:10 MYT
Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sekiranya wujud cita-cita untuk memperkasakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.

Pakar Perlembagaan, Datuk Prof Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpendapat, langkah itu penting agar JAC lebih bebas daripada pengaruh eksekutif khususnya kuasa Perdana Menteri.

“Untuk memperkasakan atau menjadikan JAC ini seperti yang diharapkan maka perlu ada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa wawancara pada program Agenda AWANI pada Isnin, mengenai isu pelantikan Ketua Hakim Negara.

Tambah beliau, kedudukan JAC pada masa kini tidak mengikat kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim, termasuk Ketua Hakim Negara.

Menurutnya, Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri.

“Kita tidak boleh mentakrif atau mentafsirkan kedudukan JAC ini pada satu tahap yang boleh mengikat Perdana Menteri.

“JAC ini untuk memandu, bolehlah tapi dalam keadaan ini, Perlembagaan (Persekutuan) peruntukkan Perdana Menteri boleh berunding dengan Ketua Hakim Negara Ketua,” katanya.

Ahli JAC terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, dua Hakim Besar serta seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, empat individu berwibawa turut dilantik oleh Perdana Menteri sebagai ahli JAC bagi tempoh dua tahun.

Sejak dikuatkuasakan pada 2 Februari 2009, JAC dikritik oleh pertubuhan sivil dan beberapa individu kerana didakwa tidak bebas sepenuhnya daripada campur tangan eksekutif.

Malah isu tersebut kian hangat selepas tiada pengganti yang dilantik susulan persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.





#Ketua Hakim Negara #Perlembagaan Persekutuan #Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman #JAC