Jadikan kisah di Athens 2004 sebagai inspirasi untuk ke Paris 2024 - Chong Wei
Bernama
April 26, 2023 16:23 MYT
April 26, 2023 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mahu pemain negara yang belum pernah merasai pengalaman beraksi di Sukan Olimpik untuk mengambil inspirasi daripada kisahnya pada edisi Athens 2004 di Greece.
Chong Wei berkata pemain negara yang bakal mengharungi kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis bermula bulan depan tidak seharusnya berputus asa dan perlu berjuang sehingga ke titisan terakhir bagi memastikan mereka dapat melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu seperti apa yang dirasainya hampir dua dekad lalu.
Pemenang pingat perak perseorangan lelaki sebanyak tiga kali berturut-turut pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 itu mengakui sama sekali tidak menyangka mewakili negara pada Sukan Olimpik 2004 memandangkan dirinya belum pernah mewakili negara di pentas Sukan SEA mahupun Sukan Asia ketika itu.
"Ketika itu hanya Wong Choong Hann dan Roslin Hashim yang sah pergi, namun sewaktu menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Kuala Lumpur saya berjaya mara ke suku akhir dan secara tak langsung dapat berada dalam kedudukan ke-15 dalam ranking top 16 ke Sukan Olimpik kerana ketika itu setiap negara dibenarkan menghantar tiga wakil berbanding dua ketika ini.
"Saya tidak rasa tekanan langsung kerana tiada siapa mengharapkan pingat daripada saya di Athens 2004, hanya pergi dan enjoy. Selepas Choong Hann dan Roslin tersingkir, tinggal saya sahaja seorang yang menentang pemain nombor dua dunia ketika itu dari China, Chen Hong pada pusingan 16 dan kecewa tewas walaupun saya main set penentuan tetapi saya banyak belajar di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chong Wei berkata demikian pada majlis pembukaan Soul Sports Physio and Rehab Centre yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Selain mengharapkan dua wakil perseorangan lelaki negara beraksi di Paris 2024, bekas pemain nombor satu dunia itu juga mahu melihat Malaysia memiliki lebih banyak pilihan yang dapat bersaing bagi mengisi kedudukan 16 terbaik dalam ranking Sukan Olimpik bagi kategori tersebut.
"Sememangnya Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong saya selalu cakap harap ada dalam top 16 dalam kelayakan Olimpik namun bagi Tze Yong kena berusaha kerana bukan mudah. Pada masa yang sama, saya juga harap ada pemain perseorangan ketiga atau keempat seperti Leong Jun Hao atau Cheam June Wei untuk bagi pertarungan ke Paris 2024," katanya.
Beliau pada masa sama mahu berkongsi pengalamannya mengawal tekanan sewaktu beraksi pada empat edisi Sukan Olimpik yang lalu dengan kesemua atlet termasuk mereka yang tersenarai dalam program 'Road To Gold' (RTG) kerana baginya bukan mudah untuk berdepan cabaran tersebut.
Sementara itu, juara BAC 2016 itu berkata bukan mudah bagi Zii Jia mempertahankan mahkota kejuaraannya tahun ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu namun percaya pemain nombor empat dunia itu boleh melakukannya jika menampilkan prestasi terbaiknya.
Zii Jia yang turun selaku pilihan ketiga di Dubai akan membuka kempennya bertemu wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, hari ini.
Mengenai pembukaan Soul Sports Physio and Rehab Centre, Chong Wei berkata idea menubuhkan pusat berkenaan hadir bersama dua rakan perniagaannya iaitu Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia, Datuk Seri Lee Tian Hock dan Pengerusi MJHM Sdn Bhd, Datuk Mike Tee Swee Guan, selepas memahami kepentingan pencegahan untuk atlet mahupun orang awam merawat kecederaan dialami.
Sementara itu, Hannah memaklumkan penyelaras RTG, Stuart Ramalingam bersama Chong Wei dan dua lagi legenda sukan tanah air iaitu Datuk Nicol David (skuasy) dan Datuk Mirnawan Nawawi (hoki) masih dalam proses meneliti segala keperluan dimohon 15 atlet terlibat dalam program tersebut.
"Secara dasarnya ramai perlukan fasiliti di Institut Sukan Negara terutamanya indie players (badminton) tapi kesemua ini akan diteliti termasuk bajet diperlukan," katanya.
Antara atlet yang tersenarai dalam program RTG adalah Zii Jia, juara bertahan beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
RTG merupakan projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik bermula di Paris 2024.
-- BERNAMA