Jadikan masjid pangkalan ibadah, majlis ilmu - PM Anwar

Hilmi Malik
Mei 26, 2023 14:10 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Masjid Putra malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Masjid perlu dijadikan sebagai hab majlis ilmu selain daripada pangkalan beribadah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu termasuklah menjadikan masjid sebagai penentu kepada dasar pendidikan dan ekonomi.
Beliau berkata, matlamat itu perlu disulami bersama dengan semangat ihsan dan rahmah bagi mengangkat martabat negara.
"Semangat nilai yang dipupuk akhlak yang ditekankan dan ihsan dan rahmah itu akan jadikan Malaysia ini negara yang berpaut kepada Islam dan cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh secara aman mengangkat martabat, darjat dan harakat," katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, pada Jumaat.
Sebelum itu, beliau tiba pada jam 7.20 malam untuk menunaikan solat maghrib bersama kira-kira 15,000 jemaah yang hadir.
Majlis agama tersebut diisi dengan beberapa program utama antaranya bacaan maulid dan perkongsian khas oleh beberapa tokoh ulama terkemuka.
Antara figura penting yang ditampilkan malam ini termasuklah Mantan Mufti Agung Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah dan Pengasas Darul Musthafa, Tarim, Yaman, Al Habib Umar Hafidz.
Kedua-dua mereka juga antara ulama yang telah berkongsi pandangan dan saranan menerusi Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor semalam.
#masjid #hab majlis ilmu #pangkalan beribadah #Perdana Menteri Anwar Ibrahim