KUALA LUMPUR: Sambutan Maulidur Rasul wajar dijadikan ruang untuk setiap umat Islam bermuhasabah dan memperbaiki diri, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata nilai-nilai murni yang dibawa oleh Rasulullah SAW sewajarnya terus menjadi panduan dalam kehidupan, demi membina keluarga, komuniti dan masyarakat yang lebih harmoni.
“Marilah kita menghayati dan memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan mengenang perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang Baginda dalam membimbing umat manusia.
“Kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar melalui ucapan dan selawat, tetapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui akhlak yang baik, tutur kata yang lembut, sikap saling memaafkan serta keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M akan berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual menghadiri majlis itu.
-- BERNAMA