Jadual Najib dijangka padat esok

Astro Awani
Oktober 23, 2018 12:51 MYT
Najib dipanggil PAC untuk menjelaskan mengenai tuntutan tunggakan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion. - Gambar fail
Biarpun tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, namun jadual Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tetap padat esok.
Ahli Parlimen Pekan itu dijadualkan akan hadir ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.
PAC dilaporkan akan memanggil Najib untuk menjelaskan mengenai tuntutan tunggakan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.
Selain Najib, PAC turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Siregar Abdullah dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Najib dan Irwan Siregar dipanggil hadir di ibu pejabat SPRM esok bagi membantu siasatan berhubung urusan 1MDB dan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).
Laporan yang memetik sumber itu menyatakan bekas perdana menteri itu juga bakal berdepan enam pertuduhan tambahan pada Khamis.
#1MDB #Abu Dhabi #International Petroleum Investment Company #IPIC #Irwan Siregar Abdullah #jadual #Lim Guan Eng #Malaysia #Najib Razak #PAC #padat #SPRM