MALAYSIA
Jadual tarif elektrik baharu bukti reformasi besar sektor tenaga negara - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyampaikan ucapan pada Karnival Kita Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Ecopark Pantai Dalam hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai antara bukti komitmen kerajaan melaksanakan reformasi besar dalam sektor tenaga negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Tarif elektrik baharu akan bermula 1 Julai 2025, dengan 85% pengguna domestik dijangka tidak terkesan atau akan menikmati kadar lebih rendah.
- Langkah ini sebahagian daripada reformasi tenaga kerajaan selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan peningkatan tenaga boleh baharu dan pengurangan karbon menjelang 2050.
- Kerajaan komited memastikan reformasi ini memberi manfaat kepada rakyat, selaras dengan konsep Malaysia MADANI dan kerjasama antara PETRA, ST dan TNB.
"Inilah antara reformasi besar yang sedang digerakkan secara bersepadu oleh kerajaan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini membuktikan bahawa dalam membawa pembaharuan, manfaat kepada rakyat masih menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Jumaat lepas, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan kerajaan.
Menurut ST, tarif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Suruhanjaya itu memaklumkan perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.
Pelarasan kadar purata tarif asas ditentukan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4, dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, menjadikan purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding tempoh RP3.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai merasmikan Karnival Kita MADANI yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan santai yang mengetengahkan isu semasa, dasar serta inisiatif kerajaan berlandaskan konsep Malaysia MADANI.
Antara pengisian program termasuk Jualan RAHMAH dan Agro MADANI, pertandingan sukan rakyat dan kanak-kanak serta pameran membabitkan 21 agensi kerajaan termasuk kaunter bayaran saman trafik dan pembaharuan lesen memandu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami