Ketua Eksekutif portal berita The Malaysian Insider (TMI) Jahabar Sadiq mengakui tidak sabar untuk kembali bertugas di portal itu setelah dibebaskan daripada tahanan polis hari ini.

"Saya busuk, perlu mandi dan saya hendak makan tengah hari.

"Gambar saya kini dirakam dan saya ditemubual kali ini namun saya tidak sabar untuk kembali sebagai wartawan semula," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas dibebaskan.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak polis kerana menerima layanan yang bagus.

"Mereka mengambil kenyataan saya dengan begitu profesional. Namun saya masih tidak tahu kenapa saya disiasat di bawah Akta Hasutan. Satu hari nanti kita akan tahu," katanya.

Jahabar
Jahabar turut berterima kasih kepada pihak polis kerana menerima layanan yang bagus.- Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Sementara itu Penerbit The Edge Ho Kay Tat turut berkata pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melayan beliau dengan baik.

"Ya, saya dilayan dengan baik dan saya berterima kasih kepada pihak polis dan SKMM. Mereka begitu baik dengan kami," katanya ringkas kepada pemberita di pintu pagar IPD Dang Wangi sebelum dipandu keluar.

Peguam yang mewakili mereka, Syahredzan Johan berkata tiada sebab mengapa pihak polis perlu menahan atau menangkap mereka.

"Dari mula sehingga saat ini, anak guam saya telah memberikan kerja sama dengan pihak polis. Tiada sebab untuk terus tahan dan tangkap mereka," katanya.

Kay Tat
Kay Tat dan Jahabar dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Kay Tat dan Jahabar dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mereka ditahan polis pada Selasa di bawah Akta Hasutan berhubung laporan tentang undang-undang jenayah Islam atau hudud yang disiarkan di portal TMI.