SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan melaksanakan program vaksinasi khas bagi guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan menerima vaksin COVID-19.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata susulan program vaksinasi khas itu, satu arahan rasmi bersurat akan dikeluarkan kepada setiap individu yang terlibat.

"Jika mereka tidak hadir (program vaksinasi khas), tindakan sewajarnya akan dimulakan mengikut peraturan yang ditetapkan. JAIS sangat berharap agar mereka yang terlibat akan hadir pada tarikh dan masa yang bakal ditetapkan dalam waktu terdekat," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Mohd Shahzihan berkata demikian susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan akhbar semalam berhubung isu keengganan segelintir guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah di negeri ini mendapatkan vaksin COVID-19.

Semalam, Sultan Sharafuddin mengingatkan guru KAFA di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin COVID-19 bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah tindakan sama juga akan diambil terhadap pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.

-- BERNAMA