JAIS kesan pelanggaran SOP PKP di beberapa masjid, surau

Bernama
Mei 16, 2021 21:00 MYT
JAIS mendapati beberapa masjid dan surau di negeri ini melakukan pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia masih berlaku.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati beberapa masjid dan surau di negeri ini melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia masih berlaku.
Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia termasuk bilangan jemaah yang melebihi had dibenarkan, individu tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan fizikal sepanjang berada di masjid dan surau.
"JAIS mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun, tindakan yang tegas akan dilakukan sekiranya pelanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut mengingatkan umat Islam di Selangor supaya tidak membuat perbandingan terhadap langkah diambil JAIS dengan negeri-negeri lain kerana situasi dan latar belakang penularan adalah berbeza bagi setiap negeri.
Katanya JAIS berharap umat Islam dapat menghadapi situasi semasa dengan bermuhasabah dan merenung kembali peranan masing-masing sebagai jemaah masjid dan surau.
-- BERNAMA
#JAIS #Pelanggaran SOP #PKP #perintah kawalan pergerakan #masjid #surau #Mohd Shahzihan Ahmad #pelitup muka #SOP