[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

JAIS, PDT tinjau tapak Masjid Dengkil, elak pencerobohan berlaku

Sinar Harian 10/04/2025 | 07:00 MYT
Aiman Athirah berkata, tindakan turun padang itu sebagai langkah proaktif bagi memastikan tiada sebarang gangguan terhadap status tanah yang telah melalui proses pewartaan secara sah.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang serta wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang mengadakan lawatan ke tapak Masjid Dengkil pada pagi Khamis bagi memastikan tiada sebarang unsur pencerobohan berlaku.
Lawatan itu dibuat susulan perkembangan semasa berkaitan status tanah tapak masjid tersebut yang telah diwartakan sebagai tanah wakaf untuk pembinaan rumah ibadat umat Islam di kawasan berkenaan.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu, yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, tindakan turun padang itu sebagai langkah proaktif bagi memastikan tiada sebarang gangguan terhadap status tanah yang telah melalui proses pewartaan secara sah.
“Negara ini adalah negara hukum, semua pihak tertakluk kepada perundangan. Maka apa sahaja isu yang berbangkit, kita yakin ia boleh ditangani dengan tenang dan damai mengikut lunas undang-undang.
“Tapak Masjid Dengkil seluas 10 hektar itu telahpun diwartakan sebagai tapak masjid. Kelulusan bajet bagi pembinaan masjid juga telah diperoleh dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek tersebut masih tertangguh akibat beberapa siri libat urus yang sedang dijalankan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Selangor berkaitan isu tanah ruai masyarakat Orang Asli bersempadan dengan tapak berkenaan.
Tambah Aiman Athirah, usaha penyelesaian secara menyeluruh sedang giat dijalankan agar perancangan membina masjid itu dapat dimuktamadkan dalam tahun ini.
“Insya-Allah, akan cuba dimuktamadkan dalam tahun ini,” katanya. - Sinar Harian
#JAIS #Masjid Dengkil #kuil #Aiman Athirah Sabu