Jajaran LRT Pulau Pinang dilanjutkan ke Seberang Perai - Anwar

Anwar (tiga, kiri) di Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Persekutuan akan melanjutkan jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang hingga ke Seberang Perai bagi memastikan pembangunan negeri itu seimbang dan dinikmati semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sendiri membuat keputusan itu selepas meneliti cadangan asal yang hanya melibatkan kawasan di pulau tanpa menyambung laluan ke tanah besar.
"Mereka (pembangkang) tanya mengapa kos LRT Pulau Pinang terlalu mahal dan mengapa harga itu bertambah. Apabila dibentang kepada saya oleh kerajaan negeri, projek LRT itu hanya di pulau dan saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, tidak mahu projek itu tersekat di situ.
"Jadi saya yang mencadangkan supaya LRT menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai dan projek itu akan sampai ke Penang Sentral di Seberang Perai. Kalau tidak, mereka kata kita hanya jaga pulau sahaja, kepentingan orang Cina sahaja, tidak jaga seberang, tak jaga Melayu. Ini polemik yang tidak menguntungkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Hadir sama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata pembinaan jajaran ke Seberang Perai memastikan kawasan seperti Permatang Pauh, Bagan dan Nibong Tebal turut menikmati manfaat daripada sistem pengangkutan moden itu selain meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua wilayah negeri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menolak dakwaan pihak tertentu mengenai kos projek meningkat kerana faktor tidak menentu sambil menjelaskan bahawa kenaikan kos berpunca daripada keputusan menambah jajaran ke Seberang Perai.
LRT Mutiara Line merupakan laluan LRT pertama di luar Lembah Klang yang melibatkan pembinaan laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik.
Jajaran itu direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan menambah baik ketercapaian.
Pelan jajaran utama merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa semua pihak yang terlibat supaya mempercepat pelaksanaan projek peningkatan infrastruktur di negara ini termasuk PTJSD bagi mengurangkan kesesakan dan memberikan manfaat segera kepada rakyat.
Projek yang merangkumi kawasan Juru, Sungai Dua, Pematang Pauh dan sempadan Pulau Pinang itu tertangguh sekian lama namun kini dapat dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Walaupun unjuran tempoh siap 24 hingga 48 bulan, saya tidak mahu ia ditangguhkan. Percepatkan pelaksanaan supaya rakyat menikmati keselesaan dan penjimatan ekonomi lebih awal," katanya.
PTJSD yang bernilai RM3 bilion dijangka dapat memendekkan masa perjalanan dari satu jam kepada 20 minit semasa waktu puncak.
Projek itu juga akan mengurangkan kesesakan trafik apabila 30 peratus pengguna beralih ke laluan terus Juru-Sungai Dua.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


