MALAYSIA
JAKIM diarah siasat kes syarikat bekal makanan hospital tiada sijil halal

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata bagaimanapun, buat masa ini beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan. - Foto BERNAMA
SUNGAI PETANI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap isu pelantikan sebuah syarikat perkhidmatan katering tiada Sijil Halal yang membekalkan makanan di sebuah hospital kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata bagaimanapun, buat masa ini beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
"Saya memang dah arahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk tengok isu itu dan beliau akan maklum (hasil laporan) kepada saya. Saya tak boleh nak respons sampai saya dapat laporan beliau," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah MADANI Peduli di sini hari ini.
Pada program itu, beliau menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada mangsa yang cedera dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Mohd Lutfi Radzi di Bukit Banyan, di sini.Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat dinamakan sebagai 0267299-T.
Syarikat yang didakwa tiada Sijil Halal itu dianugerahkan kontrak membekalkan makanan kepada pesakit hospital berkenaan selama tiga tahun bermula pada Feb 2024.
Terdahulu, Mohd Na'im menyantuni Mohd Lutfi, 37, dan isterinya Nurul Ain Zakaria, 36, serta dua anak mereka, yang merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Alza yang mengalami kecederaan akibat tragedi JRTB pada 9 Jun lepas.
Sementara itu, Mohd Lutfi ketika ditemui pemberita berkata dia dan keluarga sangat menghargai jasa rakyat di negara ini yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan mereka serta semua pihak termasuk polis, bomba dan petugas kesihatan yang telah banyak membantu.
"Keadaan kami semua sudah semakin baik. Isteri saya yang patah tulang rusuk masih dalam cuti sakit dan anak perempuan yang patah paha sudah boleh bergerak sendiri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami