Jakim kaji kemungkinan guru KAFA belum vaksin dikecuali pengajaran bersemuka

Amirrul Rabbani
September 5, 2021 05:01 MYT
Jakim berkemungkinan akan mengambil pendekatan untuk melarang guru KAFA yang belum atau enggan menerima vaksin COVID-19 untuk dikecualikan daripada aktiviti pengajaran secara bersemuka. - Gambar hiasan
TAIPING: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkemungkinan akan mengambil pendekatan untuk melarang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum atau enggan menerima vaksin COVID-19 untuk dikecualikan daripada aktiviti pengajaran secara bersemuka.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, bagaimanapun perkara berkenaan akan dikaji dan dibincangkan di peringkat pengurusan Jakim dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua guru KAFA tidak menolak daripada mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi keselamatan semua pihak khususnya golongan murid.
“Saya nasihatkan (guru-gura KAFA) supaya ambil vaksin. Apa yang kita takut sangat soal vaksin ini? Setakat
hari ini, ramai orang meninggal dunia disebabkan COVID-19 daripada meninggal dunia (disebabkan) kena vaksin.
“Bab ini (vaksin) saya tidak boleh hurai panjang kerana bukan bidang kuasa saya, kepakaran itu (pada) bahagian KKM (Kementerian Kesihatan). Perkara ini akan dibincangkan di pihak bahagian pendidikan yang kendalikan KAFA,” kata Idris kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dari tiga perkampungan di sini, pada Ahad.
BACA: 2,500 guru enggan divaksin tidak dibenar mengajar secara bersemuka - Radzi
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada Jakim akan mengambil langkah sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap guru KAFA yang masih atau enggan divaksin.
Pada Sabtu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan, seramai 2,500 guru yang enggan atau belum divaksin tetap perlu ke sekolah namun akan diberi tugasan lain yang tidak membabitkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.
#guru KAFA #vaksin COVID-19 #pengajaran bersemuka #Jabatan Kemajuan Islam Malaysia