MELAKA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa komited memantau peruntukan yang disalurkan kepada setiap negeri terutama melibatkan golongan sasar seperti mualaf.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata pemantauan bukan sahaja melibatkan aspek penggunaan kewangan tetapi sejauh mana program daripada dana tersebut membawa impak besar kepada masyarakat.

"Kita juga akan memastikan setiap program dilaksanakan mengambil kira budaya lokaliti setempat kerana mahu semua yang terlibat, merasa dan menjadi sebahagian daripada program tersebut," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Mahabbah Tahun Baharu Cina Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024 di Pengkalan Rama di sini hari ini.

Di Melaka, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menyediakan peruntukan zakat tahunan bagi golongan mualaf berjumlah RM14.7 juta bagi tahun ini, sekali gus menjadi remedi terbaik dalam menyokong dan membela golongan tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata JAKIM juga komited memastikan jumlah pendakwah bertauliah mencukupi agar golongan mualaf sentiasa mendapat akses kepada ilmu berkaitan Islam dengan mudah, pantas dan tepat.

Katanya ini termasuk menambah jumlah pendakwah pada setiap tahun dalam pelbagai kategori termasuk dari usia muda dan senior serta pelbagai kepakaran, mengikut keperluan lokaliti penempatan pendakwah tersebut.

"Bahagian dakwah di peringkat Persekutuan memang sudah ada pendakwah yang ditempatkan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak dan kita ada bekerjasama dengan majlis agama negeri dan NGO yang membantu dalam hal ini.

"Jadi kita bergerak secara bersama dan kemahiran pendakwah-pendakwah ini akan diperkukuh dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, lebih 500 mualaf dari seluruh negara hadir memeriahkan sambutan itu yang menyajikan pelbagai program menarik seperti Pertandingan Dapur Panas Mualaf, penyampaian angpau kepada kanak-kanak serta sumbangan kepada mualaf terpilih serta pengisahan sejarah kedatangan Islam ke Melaka.

-- BERNAMA