[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Jakim tambah pegawai di Amsterdam jika keadaan memerlukan - Jamil Khir

Bernama 02/09/2014 | 10:22 MYT
JAMIL KHIR: Jakim tambah pegawai di Amsterdam jika keadaan memerlukan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menambah pegawainya di Amsterdam bagi pengurusan jenazah mangsa MH17 jika keadaan memerlukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata setakat ini Jakim menempatkan empat orang pegawai untuk tujuan itu selain bagi menjalinkan hubungan dengan komuniti Islam setempat di ibu negara Belanda itu.

"Ini (penghantaran lebih banyak pegawai) bergantung kepada keperluan," katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Konvensyen Institut Kemahiran Islam Malaysia (Ikmas) oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Penerbangan Malaysia MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Jakim menghantar 10 orang pegawainya untuk menguruskan jenazah mangsa yang beragama Islam.
Sehingga kini 14 jenazah daripada 20 mangsa warga Malaysia beragama Islam telah dibawa balik sejak 22 Ogos lepas dan selamat dikebumikan.
#Amsterdam #JAKIM #jamil #jenazah #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia