Jakim terus pantau kiriman yang menghina Islam dan Rasulullah

Bernama
Jun 22, 2020 08:49 MYT
Jakim akan terus bekerjasama dengan MCMC untuk menangani kiriman dalam talian yang berbentuk provokasi dan menghina agama. - Gambar hiasan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memantau sebarang kiriman dalam talian yang didapati menghina Islam dan Nabi Muhammad, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata terdapat beberapa kes berkaitan kiriman dalam pelbagai platform media sosial yang dihadapkan ke muka pengadilan dan ini menunjukkan keseriusan Jakim dalam menangani isu ini.
"Malaysia ialah negara yang penduduk majoritinya beragama Islam dan ajaran Islam perlu dihormati di semua platform.
Jakim menerusi unit pemantauannya peka terhadap kiriman dalam talian yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ... kami menganggap ini sebagai satu kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selapas satu dialog awam bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pusat Pungutan Zakat (Pusat Pungutan Zakat) di Kompleks Darul Kifayah di sini hari ini.
Ahmad Marzuk berkata adalah penting untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama di dalam negara ini.
"Fenomena (kiriman yang menghina agama) di dalam negara ini masih berleluasa malah sebelum kami (Perikatan Nasional) mengambil alih kerajaan.
Kebebasan (dalam kiriman di media sosial) yang diberikan kerajaan tidak sepatutnya disalah guna sehingga menyinggung dan menghina agama lain yang mungkin menimbulkan ketegangan agama dan kaum," katanya.
"Jakim akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menangani kiriman dalam talian yang berbentuk provokasi dan menghina agama," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Marzuk Shaary #hina Islam #Islam #JAKIM #media sosial #Rasulullah #Timbalan Menteri