Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan majoriti murid Orang Asli di 11 buah sekolah rendah Orang Asli di Kelantan trauma untuk ke sekolah selepas tragedi kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang pada Ogos tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hasnan Hassan berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana sebahagian besar sekolah-sekolah yang terlibat mencatatkan kehadiran lebih daripada 85 peratus.

"Hanya SK Tohoi mencatatkan kehadiran kurang memuaskan apabila hanya 55 peratus kehadiran murid dicatatkan pada minggu kedua persekolahan," kata Hasnan.

Tambah beliau, kadar kehadiran murid yang sedikit adalah perkara biasa yang sering berlaku di SK Tohoi pada awal sesi persekolahan.

"Mengikut rekod sebelum ini, SK Tohoi mencatat jumlah kehadiran kurang memberangsangkan kerana kebanyakan daripada muridnya tinggal di sembilan buah kampung pedalaman yang jaraknya antara 45 hingga 65 kilometer dari sekolah," kata Hasnan ketika ditemui pemberita selepas melawat SK Tohoi pada Ahad.

BACA: Norieen, Miksudiar belum mulakan persekolahan mereka

Antara sekolah Orang Asli di Kelantan ialah SK Bihai, SK Pasir Linggi, SK Kuala Lah, SK Hendrop, SK Pos Brooke, SK Balar, SK Kuala Betis, SK Sri Permai, SK Pulat dan SK Sungai Rual, Jeli.