MALAYSIA
Jalan Kebun, Kota Kemuning banjir, warga emas terperangkap diselamatkan
Seorang wanita warga emas terperangkap dalam rumah susulan kejadian banjir di Taman Bukit Kemuning, Shah Alam. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning, di Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak 6 pagi, pada Jumaat.
Situasi itu menyebabkan seorang wanita warga emas terperangkap dalam rumah di Taman Bukit Kemuning, Shah Alam.
Beberapa jalan utama dan beberapa kediaman telah mula dinaiki air dan keadaan itu turut menyebabkan jalan utama mengalami kesesakan lalu lintas.
Selain itu, penduduk di kawasan itu juga dilihat mula memindahkan barangan dan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi.
Malajh, beberapa kenderaan milik penduduk turut terkandas akibat terperangkap dalam banjir.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.29 pagi.
Katanya, warga emas itu terperangkap di dalam rumah akibat paras air banjir sedalam satu meter dan telah dikeluarkan oleh orang awam untuk dibawa ke kawasan selamat sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Operasi menyelamat melibatkan seramai 10 anggota dari BBP Shah Alam bersama dua buah jentera jenis FRT.
"Sehingga kini, status operasi masih belum diklasifikasikan sebagai terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat laporan ini dikeluarkan.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor terus memantau keadaan semasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan hujan berterusan," katanya.