NATIONAL

Jalan, lebuh raya baharu perlu ada terowong hidupan liar - KKR

Bernama 13/05/2025 | 09:00 MYT
WCE - West Coast Expressway yang telah melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuh raya.
KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya akan memastikan setiap jalan raya serta lebuh raya baharu selepas ini direka bentuk dan dibina dengan terowong hidupan liar bagi mewujudkan laluan selamat untuk haiwan berkenaan.

Ringkasan AI
  • Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya akan memastikan setiap jalan raya dan lebuh raya baharu direka bentuk dengan terowong hidupan liar untuk laluan selamat haiwan.
  • Terowong hidupan liar telah dibina di Lebuhraya Persisiran Barat (WCE) di jajaran Taiping Selatan-Bruas dengan nasihat dan persetujuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
  • Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama dengan Jabatan Perhilitan untuk pemeliharaan hidupan liar dan menggalakkan pemandu memperlahankan kelajuan di lokasi pintasan hidupan liar yang dikenal pasti.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan mengambil contoh pembinaan terowong berkenaan oleh Lebuhraya Persisiran Barat (WCE) di jajaran Taiping Selatan-Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Syabas dan terima kasih kepada syarikat konsesi WCE yang melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuh raya untuk membolehkan habitat hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke hutan lain, melintasi lebuh raya dengan selamat," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KKR memaklumkan kerjasama erat antara kementerian dengan Jabatan Perhilitan akan diteruskan bagi memastikan pemeliharaan hidupan liar sentiasa dipertingkatkan.
"Besar harapan kami supaya pemandu kenderaan memperlahankan kelajuan dan berhati-hati ketika melewati lokasi pintasan hidupan liar yang telah dikenal pasti melalui papan tanda dan lampu jalan," menurut KKR.
-- BERNAMA
#KKR #hidupan liar #terowong hidupan liar #lebuh raya