KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin menzahirkan rasa risau susulan kejadian jalan mednap di laluan Jerantut-Benta yang dilihat belum ada langkah penyelesaian segera pihak berwajib.

Menurut Khairil menerusi posting di laman sosial Facebooknya, beliau risau dengan keadaan cuaca hujan sejak kebelakangan ini memburukkan lagi keadaan.

"Hujan yang berpanjangan merisaukan saya tambahan pula kejadian jalan mendap di laluan Jerantut-Benta belum ada penyelesaian segera.

"Jumaat lalu saya telah pergi sendiri melihat keadaan jalan yang rosak akibat mendapan dan berlubang di kawasan Kampung Jaya Putra, Damak. Kawasan yang terlibat adalah di Kilometer (KM)38 Jerantut-Benta," jelasnya.

Tambah Khairil, laluan terbabit adalah laluan utama kepada penduduk setempat untuk ke Bandar Jerantut.

Ekoran kerosakan jalan yang teruk, ia sekali gus menyukarkan rutin harian penduduk melalui laluan berkenaan.

"Pihak kami memang mahu berjumpa dengan pihak Jurutera Daerah (JD) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut untuk mengetahui lebih lanjut keadaan jalan ini dan tindakan susulan mereka.

"Tetapi malangnya pada hari Jumaat lepas, JD JKR tidak dapat meluangkan masa berjumpa dengan pihak kami kerana sedang menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah," katanya lagi.

Malah, Mesyuarat Tindakan Daerah dakwa Khairil, tidak melibatkannya selaku Ahli Parlimen di kawasan itu.

"Sekadar makluman untuk semua, Mesyuarat Tindakan Daerah ini tidak melibatkan saya selaku Ahli Parlimen dan juga ADUN-ADUN PN di dalam kawasan Parlimen Jerantut.

"Saya dalam proses untuk bertemu dengan pihak JKR Jerantut dengan segera bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta tindakan yang akan diambil untuk memudahkan penduduk setempat ke Bandar Jerantut.

"Untuk kesejahteraan rakyat, perbezaan politik haruslah kita diketepikan kerana rakyat adalah keutamaan," katanya lagi.